Terbaru, tiada angin dan ribut, timbul pula cerita mengenai Fara Fauzana yang dikatakan sudah pun mempunyai kekasih hati!
Berita mengenai Fara sudah ada kekasih hati yang dikatakan kerabat diraja sebagaimana disiarkan Selebriti Harian Metro menerusi kolum gosip Cak minggu lalu, membuatkan hidup artis serba boleh itu tidak keruan.
Tambahan pula sewaktu ia disiarkan, Fara tidak mengetahui mengenainya kerana berada di Beijing, China. Fara kehairanan apabila dihujani ucapan tahniah dari peminat mahupun rakan rapat termasuk Datuk Siti Nurhaliza.
Lebih daripada itu, ada antara rakan rapatnya yang sering menjadi tempatnya berkongsi cerita, terasa hati kerana menganggap bintang kelahiran Shah Alam, Selangor itu merahsiakan perkara baik itu daripada pengetahuan mereka.
Fara mengakui sangat terkejut apabila membuka laman sosial sebaik menjejakkan kaki di tanah air kerana ramai yang mengucapkan tahniah. Tidak kurang ada antara mereka berseloroh menyebut dirinya bakal jadi permaisuri.
Berikut adalah daripada petikan ruangan Selebriti Harian Metro:
Fara juga menerima pesanan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dari Siti bertanya bilakah majlis perkahwinannya akan berlangsung dan dalam pesanan itu juga dia meminta agar diumumkan tarikhnya secepat mungkin kerana mahu menempah baju untuk menghadiri majlis perkahwinannya.
“Apabila timbul kekecohan membabitkan gosip disiarkan, saya terpanggil untuk menjelaskan kedudukan sebenar kerana cerita dalam gosip itu tidak benar. Saya tidak mempunyai teman lelaki apatah lagi kalangan kerabat diraja. “Terus terang, memang saya agak rapat dengan beberapa kerabat Pahang tetapi hubungan kami tidak lebih daripada rakan. Waktu sama, kebanyakannya antara mereka sudah berumahtangga dan yang bujang seusia saya tidak ada.
“Saya bimbang kerana gosip ini akan menimbulkan salah faham bukan saja di kalangan peminat tetapi lebih penting ahli keluarga, teman rapat mahupun orang yang cuba dikaitkan,” katanya ketika mneghubungi Selebriti untuk menjelaskan kedudukan sebenar.
Fara tidak menafikan sebelum ini ada bertemu dengan seseorang dan mula berkenalan rapat tetapi hubungan mereka tidak berpanjangan. Pun begitu, mereka masih berhubung sebagai kawan.
“Lelaki terbabit bukanlah kerabat diraja, dia orang biasa-biasa saja. Jadi saya hairan dari mana pula datangnya saya bercinta dengan kerabat? Kalau benar sudah tentu keluarga adalah orang pertama yang akan saya beritahu, tetapi ia memang tidak pernah berlaku,” katanya.
Penyampai radio stesen Hot FM ini turut menafikan kenyataan mengatakan perhubungannya bersama kekasihnya itu bermula sebagai rakan niaga yang turut bertindak sebagai salah seorang pengurusnya. Ini kerana mereka yang menguruskan kerjaya seninya semuanya wanita.
“Rakan baik saya sendiri dalam gurau turut menyindir. Kata mereka, sampai hati saya tidak memberitahu mereka. Memang kami benar-benar rapat dan mereka adalah orang tempat saya meluahkan segala. Antara kami tiada rahsia. “Jadi apabila mereka dengar yang saya bercinta dan jejaka dimaksudkan itu adalah kerabat, sudah tentu mereka terasa. Bagaimanapun, apabila saya menjelaskan bahawa ia hanya sekadar gosip dan timbul dari salah faham, mereka memahami.
“Sekiranya gosip yang disiarkan itu benar, saya adalah orang paling gembira kerana dalam keadaan sekarang memang mengharapkan perkara baik itu. Tapi ia seperti dikatakan.
“Apapun, saya melihat gosip ini dari sudut positif. Kata orang, kalau perkara baik itu selalu disebut-sebut, akan menjadi doa. Saya juga beranggapan penulis gosip itu juga mahu melihat saya bahagia.
“Begitu juga mereka yang memberikan pesanan dan ucapan tahniah menerusi khidmat pesanan ringkas atau laman sosial saya. “Insya-Allah itu juga yang saya harapkan agar semua orang doakan perkara baik itu berlaku,” katanya.





Apa Kata Anda?
PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. [ Penafian ]